27 May 2013

24/4/2013 Perginya Bonda Ke Rahmatullah

Tanggal 24/4/2013; Rabu pada jam 11.00 malam telah perginya bonda tercinta Hjh Badariyah ke rahmatullah. Aku menerima panggilan telefon dari Yop Faizal sekitar jam 11.30 malam. Sebelum itu Cho Majidah telah beberapa kali cuba menalifon tetapi telefon yang di'silent' sejak meeting pada petang itu lupa untuk di 'on'kan semula.

Malam itu juga kami bergegas untuk pulang ke kampung, bergerak dalam jam 12.30 pagi dan selamat sampai di kampung sekitar jam 3.00 pagi. Setibanya kami di kampung, Andak Ayub dan Enda Tarmidzi juga baru sampai. Anjang, Chik, Chu dan Cho telah berada di rumah. Terus saja kami menghadiahkan bacaan al-Qur'an dan Yaasin untuk bonda sehingga ke Subuh hari.

Aku terus menghampiri jasad bonda yang telah kaku dengan penuh linangan air mata. Satu kejutan pada diri ku apabila melihat jasad bonda dalam keadaan yang elok lurus, sedangkan semasa hayatnya bonda telah bongkok untuk lebih 20 tahun. Tambahan dalam 2 bulan terakhir badan bonda yang sangat sukar untuk diusik kerana menanggung kesakitan.

Terus terkenang dan terngiang akan jasa-jasa bonda yang tidak terhitung banyaknya untuk membesarkan aku dan 10 orang adik-beradik. Sejak aku kecil, masih ingat di ingatan ku bagaimana bonda bersama arwah ayah membanting tulang, berhujan dan panas di bendang dan memotong getah di kebun berganti-ganti mengikut musim, tanpa rehat dan jemu. Demi untuk membesarkan anak-anak. Acap kali bonda bercerita bilamana basikal yang ayah bawa telah jatuh ke parit kerana jalan yang lecak. Kesiannya bonda basah kuyup di lumpur. Perjalanan berbasikal sejauh hampir 20km untuk sampai ke bendang. Besarnya pengorbanan ayah dan bonda.

Sehingga umur ku 10 tahun pada 1979, ayah pula telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Tinggallah bonda terus menyara kehidupan aku dengan mengambil upah menjahit baju dan cadar. Mujur juga abang-abang yang telah berkerja turut membantu pelajaran ku. Terima kasih Yang, Andak yang paling banyak membantu, juga yang lain-lain pemberi semangat untuk aku teruskan kehidupan.

Semasa sekolah rendah 1976-1981, aku turut membantu bonda untuk menjual 'kacang kuda' di sekolah bagi menampung belanja. Mungkin masa tu Milah, Mun, Endan dan Din masih ingat, kerana mereka juga di sekolah yang sama. Semasa di sekolah menengah 1982-1986, buat pertama kalinya bonda tinggal berseorangan di rumah kerana aku masuk ke asrama. Dapat aku rasakan bagaimana kesedihan bonda menangis setiap hari kerana semua 10 orang anaknya telah tiada menemani. Satu ketika dulu, rumah itu penuh dengan tawa dan tangis anak-anak serta cucu-cucu yang membesar bersama.

Sehinggalah aku berjaya ke menara gading UTM pada 1987-1992, berkat doa bonda. Pernah sekali bonda menguatkan semangat untuk naik bas dari Tk Intan ke Johor Baharu berseorangan untuk menziarahi aku. Mungkin rindu sangat agaknya. Seakan tidak aku percaya. Pergi dan balik secara berseorangan Tk Intan - Johor Baharu - Tk Intan. Bonda bermalam di rumah anakanda Yud yang ketika itu berkerja di UTM Skudai. Di UTM, bonda sempat masuk menjenguk aku ke asrama. Satu ungkapan bonda ketika masuk, yang aku tak akan lupa sampai bila-bila... "tak ade le susah beno nak masuk lebasiti ni.. deme kate susah beno..!!". Itulah antara kata-kata bonda dengan nada mengusik dan berseloroh.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Di hadapan aku kini jasad itu telah kaku, tidak berdaging, hanya yang tinggal tulang-belulang yang masih terasa. Oh bonda, kudrat dari tulang-tulang inilah yang telah membesarkan kami anak-anak dan cucu-cucunya. Aku terus tidak dapat menahan air mata dan kesedihan di masa memandikan bonda. Alhamdullah tertunai juga hajat ku untuk memandikan dan mengkafankan bonda sekali buat selama-lamanya.

Jenazah bonda telah siap disembahyangkan sekitar jam 11.30 pagi dan telah selamat disemadikan pada jam 12.30 tengahari di Tanah Perkuburan Kg Bandar Tua. Di hadapan semua 10 anak, 70 cucu, 75 cicit dan 3 piutnya, bonda telah pergi buat selama-lamanya.

Moga bonda tenang di sana, Ya Allah jadikan kuburnya satu daripada taman-taman syurga dan ditempatkan bersama-sama para solehin. Ampunkan segala dosa-dosa anak mu ini. Al-fatihah...



22 September 2012

Menjadi Tetamu Allah


InsyaAllah jika dengan izin-Nya saya dan isteri akan menunaikan haji ke Mekah pada tahun ini. Jadual penerbangan adalah pada 4 Okt 2012 hingga 17 Nov 2012 iaitu selama 44 hari.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf dari semua keluarga dan kenalan sekiranya ada segala kesilapan dan dosa-dosa kami selama ini. Halalkan segala makan, minum dan ilmu-ilmu yang telah dicurahkan.

Doakan kami agar dipermudahkan segalanya, anugerahkan kami mendapat haji yang mabrur serta diterima segala taubat dan amalan kami selamanya. Amin.

16 January 2012

Tahniah Kak Yong 8A PMR 2011

Nak ucapkan TAHNIAH kepada Kak Yong, Aina Safiyyah yang telah berjaya mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan PMR 2011 yang lalu.

Semoga menjadi inspirasi kepada kejayaan adik-adik yang lain pada masa-masa akan datang.

Kepada Kak Yong, teruskan perjuangan untuk memperoleh kejayaan yang lebih gemilang pada masa-masa akan datang... Dunia dan Akhirat... Amin...

06 August 2011

Angah pula ke SABDA

Erm... dah lama tak berblog.. sibok memanjang...

Kali ni just nak wish moga bjaya kat Angah yg dah masuk ke SABDA mulai Julai 2011 yg lepas. Mmg bnyak pelajaran yg tertinggal esp. subjek2 baru spt bahasa Jerman..?? ke bahasa Jawa...?? Tak pe lah Angah... Kejor Yong Kejor... Insyaallah boleh !!!...


Hari Mendaftar 1/7/2011...


Melawat pada 14/7/2011...


11 May 2011

Selamat Hari Ibu 8/5/2011

Sempena Hari Ibu pada 8/5/2011 didoakan semoga semua ibu-ibu selamat sejahtera hendaknya hingga ke akhir hayat dan dikurniakan hidayah yang berpanjangan.

Khasnya buat emak, Hjh Badariyah A. Mohd Latip, ibu mertua, Hjh. Salasiah bt. Dahlan dan isteri, Salina Abd Wahab. Juga tidak lupa kepada kakak2, Kak dan Cho di kampung serta semua wanita2 yang bergelar ibu.

Kasihnya ibu
Membawa ke syurga
Dan kasih saudara.. masa berada
Berkorban raga.. rela binasa
Berkorban nyawa.. tanda kasihnya...

27 March 2011

Happy Birthday Adam 24/3/2011


Tanggal 24/3/2011 genap umur Adam 4 tahun... 4 tahun la...

Majlis ringkas disambut bersama-sama kawan-kawan Adam hehe... ada kek "spiderman" resepi rekaan umi... sedap hingga menjilat siku...

..

26 March 2011

Family Trip ke Kelantan


Pada cuti sekolah Penggal I yg lepas sempat juga sampai ke Kelantan. Dari 12-14 Mac 2011, setelah menghadiri perkahwinan anak Bos JKR LPT2 di Jerteh... terus saja ke Kelantan. 1 jam je lagi perjalanan...

Lebih bertuah dapat bersama2 keluarga isteri; mak, abah dan semua adik beradik dapat berkumpul. Kami menginap di Kondo Pelangi Kota Bharu... boleh la drp tak ada...

Peluang di Kota Bharu pasti saja banyak masa diluang ke tempat2 shopping... Tak ada Mega Mall atau Mesra Mall... tapi lebih menyeronokkan di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Wakaf Che Yeh... menjamu mata dan wang... habis duit aku koyak... tp xpa demi anak2...

Di sana sempat juga ketemu sahabat-sahabat lama SM Teknik Ipoh 85/86; Farid dan Fauzi Tahir di Kota Bharu dan berjumpa Che Rosfadir di K. Terengganu selepas 25 tahun. Pengalaman yang sangat menakjubkan...

...