27 May 2013

24/4/2013 Perginya Bonda Ke Rahmatullah

Tanggal 24/4/2013; Rabu pada jam 11.00 malam telah perginya bonda tercinta Hjh Badariyah ke rahmatullah. Aku menerima panggilan telefon dari Yop Faizal sekitar jam 11.30 malam. Sebelum itu Cho Majidah telah beberapa kali cuba menalifon tetapi telefon yang di'silent' sejak meeting pada petang itu lupa untuk di 'on'kan semula.

Malam itu juga kami bergegas untuk pulang ke kampung, bergerak dalam jam 12.30 pagi dan selamat sampai di kampung sekitar jam 3.00 pagi. Setibanya kami di kampung, Andak Ayub dan Enda Tarmidzi juga baru sampai. Anjang, Chik, Chu dan Cho telah berada di rumah. Terus saja kami menghadiahkan bacaan al-Qur'an dan Yaasin untuk bonda sehingga ke Subuh hari.

Aku terus menghampiri jasad bonda yang telah kaku dengan penuh linangan air mata. Satu kejutan pada diri ku apabila melihat jasad bonda dalam keadaan yang elok lurus, sedangkan semasa hayatnya bonda telah bongkok untuk lebih 20 tahun. Tambahan dalam 2 bulan terakhir badan bonda yang sangat sukar untuk diusik kerana menanggung kesakitan.

Terus terkenang dan terngiang akan jasa-jasa bonda yang tidak terhitung banyaknya untuk membesarkan aku dan 10 orang adik-beradik. Sejak aku kecil, masih ingat di ingatan ku bagaimana bonda bersama arwah ayah membanting tulang, berhujan dan panas di bendang dan memotong getah di kebun berganti-ganti mengikut musim, tanpa rehat dan jemu. Demi untuk membesarkan anak-anak. Acap kali bonda bercerita bilamana basikal yang ayah bawa telah jatuh ke parit kerana jalan yang lecak. Kesiannya bonda basah kuyup di lumpur. Perjalanan berbasikal sejauh hampir 20km untuk sampai ke bendang. Besarnya pengorbanan ayah dan bonda.

Sehingga umur ku 10 tahun pada 1979, ayah pula telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Tinggallah bonda terus menyara kehidupan aku dengan mengambil upah menjahit baju dan cadar. Mujur juga abang-abang yang telah berkerja turut membantu pelajaran ku. Terima kasih Yang, Andak yang paling banyak membantu, juga yang lain-lain pemberi semangat untuk aku teruskan kehidupan.

Semasa sekolah rendah 1976-1981, aku turut membantu bonda untuk menjual 'kacang kuda' di sekolah bagi menampung belanja. Mungkin masa tu Milah, Mun, Endan dan Din masih ingat, kerana mereka juga di sekolah yang sama. Semasa di sekolah menengah 1982-1986, buat pertama kalinya bonda tinggal berseorangan di rumah kerana aku masuk ke asrama. Dapat aku rasakan bagaimana kesedihan bonda menangis setiap hari kerana semua 10 orang anaknya telah tiada menemani. Satu ketika dulu, rumah itu penuh dengan tawa dan tangis anak-anak serta cucu-cucu yang membesar bersama.

Sehinggalah aku berjaya ke menara gading UTM pada 1987-1992, berkat doa bonda. Pernah sekali bonda menguatkan semangat untuk naik bas dari Tk Intan ke Johor Baharu berseorangan untuk menziarahi aku. Mungkin rindu sangat agaknya. Seakan tidak aku percaya. Pergi dan balik secara berseorangan Tk Intan - Johor Baharu - Tk Intan. Bonda bermalam di rumah anakanda Yud yang ketika itu berkerja di UTM Skudai. Di UTM, bonda sempat masuk menjenguk aku ke asrama. Satu ungkapan bonda ketika masuk, yang aku tak akan lupa sampai bila-bila... "tak ade le susah beno nak masuk lebasiti ni.. deme kate susah beno..!!". Itulah antara kata-kata bonda dengan nada mengusik dan berseloroh.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Di hadapan aku kini jasad itu telah kaku, tidak berdaging, hanya yang tinggal tulang-belulang yang masih terasa. Oh bonda, kudrat dari tulang-tulang inilah yang telah membesarkan kami anak-anak dan cucu-cucunya. Aku terus tidak dapat menahan air mata dan kesedihan di masa memandikan bonda. Alhamdullah tertunai juga hajat ku untuk memandikan dan mengkafankan bonda sekali buat selama-lamanya.

Jenazah bonda telah siap disembahyangkan sekitar jam 11.30 pagi dan telah selamat disemadikan pada jam 12.30 tengahari di Tanah Perkuburan Kg Bandar Tua. Di hadapan semua 10 anak, 70 cucu, 75 cicit dan 3 piutnya, bonda telah pergi buat selama-lamanya.

Moga bonda tenang di sana, Ya Allah jadikan kuburnya satu daripada taman-taman syurga dan ditempatkan bersama-sama para solehin. Ampunkan segala dosa-dosa anak mu ini. Al-fatihah...