26 May 2009

Juara barracuda kecundang...

Itulah hakikatnya... juara bertahan barracuda akhirnya kecundang...

Team ke-2 turun lagi ke laut Pulau Tenggol pada 21-22 Mei 2009 yang lepas untuk expedisi memburu barracuda berikutnya. Seramai 13 org turut serta : Azam, Haroma, Fikrey, Faliq, Wan Ismail, Wan Non, trainee Suriani, Amri, Kamaruzzaman Surini, Pudzil, Nik Kamrul, Rusyaidi dan anak buah Azam turut sama. Rata-rata masih tak puas lagi.. satu tarikh baru telah dikenalpasti untuk buruan berikutnya. Kali ini 3 hari 2 malam, insyaallah pada 16-18 Okt 2009 (sempena cuti Deepavali).

Kepada yang ingin turut serta, mula kumpul2 duit dari sekarang, RM20 setiap bulan. Irwan teringin nak turun pun datang ler... masa tu anak dah besor dah insyaallah...

Hasil pada kali ini boleh tahan juga. Banyak ikan dapat dinaikkan. Banyak lagi jenama ikan yang baru yang dikenali.. ikan 'layor'?? dan ikan 'yu bodoh' pun naik jg.. Tapi juara kali ini kat trainee Suriani kita.. paling banyak naikkan ikan besar2, ikan cermin, ikan tambak, ikan duri dll.. Fikrey..??? Maap je la.. duduk dari hulu bot hingga ke ekor bot, xcukup lg.. smpai duk dlm jamban pun xdok rezki yg besor2. Xpa..lain kali cuba lagi next trip... Faliq pun boleh tahan juga.. lenguh tangan mngangkat ikan??? Barracuda cuma seekor dapat dinaikkan berat dlm 2kg.

Tapi petua nak turun laut akan datang.. jangan lupa beli 'loceng'. Dijamin 100% dapat ikan.. ikan mati pun boleh sangkut... haha.

Jumpa lagi...



24 May 2009

PIBG SK Paka II





Mesy Agung SK Paka II ke-8 tahun 2009 telah diadakan pada 23/5/2009. Selain mesyuarat, pelbagai aktiviti dan agenda lain yang telah diadakan. Diantara agenda yang melibatkan anak2 adalah persembahan Choral Speaking (Aisyah) dan penerimaan Sijil Pelajar Cemerlang UPSR 2008 (Aina). Ayah, Ummi, Adek dan Adam turut sama hadir dan 'bermesyuarat'... haha

Selamat Hari Jadi Adek 8Tahun


Pada 23 Mei 2009, genap umur adek (Syasha) 8 tahun. Dah bertambah besar dah.. tapi gediks masih sama. Kami seluruh keluarga mengucapkan Selamat Ulang Tahun.. hihi

21 May 2009

Periksa OTI 2


Kepada anak-anak.. Peperiksaan OTI 2 tahun 2009 bermula dari 20/5/2009 hingga 26/5/2009. Ayah doakan semuanya dapat menjawab semua soalan dengan baik dan teliti. Jangan cuai ketika menjawab... Semoga mendapat keputusan yang baik dan kedudukan No. 1 dalam kelas masing-masing... Amin

1. Aina : Ting. 1 Khaldun
2. Aisyah : Tahun 5 Mujahid
3. Syasha : Tahun 2 Mukmin

12 May 2009

Selamat Hari Ibu...


Buat IBU tersayang, PN SALINA ABDUL WAHAB...

SELAMAT HARI IBU


Aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang paling sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu

Daripada anak-anakmu..
Aina Safiyyah
Aisyah Syahidah
Afiqah Syasha
Muhammad Adam Safwan

10 Mei 2009

05 May 2009

Tak Lupa Tahniah Adek...


Jangan lupa tahniah juga kepada anakanda yang paling gediks, Syasha dapat no. 2 dalam peperiksaan OTI 1 di dalam kelas 2 Mukmin SK Paka II... Kak Yong pun no. 2 dalam kelas Tingkatan 1 Khaldun di SMK Seri Paka. Kepada Angah jangan mengalah... dapatkan tempat dan kedudukan yang lebih baik selepas ini... OTI 1 no. berapa? Ooo.. no. 1.. silap 14 la...... hihi

Tingkatkan usaha untuk pencapaian yang lebih baik dalam OTI 2 bulan Mei 2009 ini.. ada hadiah menunggu kalau dapat no. 1. Hadiah apa..??? Tunggu....

TAHNIAH JUGA AISYAH !!!















Sekalung tahniah juga kepada anakanda Aisyah (Angah) bersemangat waja dengan keberanian bakat bersajak di hadapan ratusan penonton dalam pertandingan diklamasi sajak bertajuk "Dadah Durjana". Pertandingan tersebut sempena Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah zon Daerah Dungun yang turut disertai dari 15 buah sekolah dengan seramai lebih 30 peserta.

Aisyah telah mendapat tempat ke-5, boleh tahan jugak tu... mengalahkan 30 peserta yang lain. Ayah dan Ummi sangat berbangga. Tahniah dan cuba lagi...

TAHNIAH AINA 5A UPSR 2008!!!

Tak terlambat diucapkan tahniah kepada anakanda Aina kerana mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR tahun 2008 yang lalu..

Jangan berputus asa walaupun masih gagal untuk menempatkan diri di asrama-asrama penuh. Rezeki masih belum bersama kita. InsyaAllah harapan ini akan terkabul jua di kemudian hari. Banyakkan doa dan solatlah diawal-awal waktu...

Tingkatkan usaha untuk pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan seterusnya iaitu PMR 2011 dan SPM 2013... Semoga berjaya !!!

03 May 2009

Memancing, Candat di Pulau Tenggol, Dungun

Inilah realiti sebagai nelayan tegar... Seramai 15 orang dari kakitangan perlaksanaan projek LPT2 dari Pakej 6, 9B dan 9C telah turun ke laut dengan semangat waja untuk meniti kehidupan seorang nelayan. Dari jeti Dungun 30/4/2009, jam 5 petang kami bergerak menuju ke Pulau Tenggol mengambil masa hampir 2 jam untuk memulakan pancingan yang pertama... Siapa sangka hasil pertama si ikan merah seberat hampir 2 kilo berjaya dinaikkan oleh nelayan wanita.. Perghhh... Masak kari kepala ikan pun sodap tu...

Tercabar dengan situasi itu, para pemancing lelaki telah melipatgandakan usaha dan masing-masing telah menunjukkan kejantanan untuk mendapatkan hasil masing-masing. Satu demi satu ikan-ikan pelbagai spesis dinaikkan... Banyak yang tak pernah dengar pun nama-nama ikan ni... Tepat jam 9.18 malam, juara malam itu, Sdr Fikrey dari Pakej 6 (jangan mengaku kalah Pakej 6 !!!) telah berjaya menjinakkan ikan barakuda dalam tempoh 15 minit (disini mereka panggil ikan kekacang??.. entahlah) seberat hampir 5 kg, panjang 1.5m (lihat gambar kanan). Hari ni Irwan mesti 'terbakar' punyer... hari terakhir di Pakej 6. Hmmm... 'Renung-renungkan, selamat beramal' balik ke hq...

Diantara ikan-ikan lain yang terhasil termasuklah ikan haruan tasik (8 kg) dinaikkan pada pagi 1/5/09, jam 7 pagi (lihat gambar kiri, bersama ikan haruan tasik yg dinaikkan oleh orang lain hihihi), lain-lain ikan merah, ikan tambak (ikan 'nik'), kerapu dan kerapu minyak, ikan jenahak, senohong, gelama, ikan duri (tapi ni tak bohong, tak mencuri), bawal, pari, ikan cermin, kerisi, kembong, En. Kamal Afendi juara ikan 'uji rashid' haha.., ikan barat, timur, utara, selatan semua ada...

Walaupun hasil mencandat sotong tak seberapa (tekong kata kerana musim arus deras), tetapi semua sangat berpuas hati dengan pengalaman trip yang telah diadakan. Dan balik nanti tentunya semua telah sedar dan insaf.. selepas ni pergi pasar jangan lagi mengeluh harga ikan mahal... betapa peritnya titisan peluh para nelayan membanting tulang, menggadai nyawa dengan gelora laut demi sesuap nasi anak-anak...

Trip kami pulang pada 1/5/2009, selamat sampai di Jeti LKIM Dungun jam 12 tengahari. Semoga jumpa lagi di lain masa, terutama kepada yang 'tertinggal flight' hari tu... Wassalam.



Fishing Trip to Kenyir Lake - Samudera Kenyir 2009!!

Salam,

Trip memancing di Tasik Kenyir pada 23/04/09 hingga 25/04/09 yang lalu memberi seribu kenangan indah yang bermakna bagi kakitangan tapak LPT2. Seramai 16 kakitangan dan 7 ahli keluarga mengikuti aktiviti memancing tersebut.

Bertolak dari Kerteh seawal jam 7.00 pagi, sebanyak 6 buah kereta berkonvoi ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang mengambil masa perjalanan selama hampir 2 jam. Semua bahan - bahan mentah untuk memasak dibawa bersama termasuklah sayur, ayam,air mineral, maggi, biskut dan sebagainya. Peralatan untuk memasak seperti kuali, periuk, pinggan dan sebagainya disediakan oleh pihak jurumudi bot.

Setelah sampai di Jeti Pengkalan Gawi, para pemancing (kononnya laaa..kebanyakannya freshie lagi), berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di dalam bot yang diberi nama JENAGOR 1 itu. Kami bernasib baik kerana tilam & bantal yang disediakan masih baru serta susun atur barang - barang kelengkapan bot yang baik membuatkan para pemancing tidak sabar untuk memulakan perjalanan ke Taman Negara Tasik Kenyir.

Perjalanan ke Taman Negara Tasik Kenyir mengambil masa selama hampir 5 jam. Disepanjang perjalanan, rakan - rakan wanita sempat menyediakan masakan tengah hari yang enak. Antara makanan yang disediakan ialah ayam masak merah, telur dadar, ikan kembung goreng, sayur campur goreng dan air teh O ais. Kakitangan yang lain tidak melepaskan peluang menghirup udara yang segar disepanjang perjalanan. Telihat juga kelibat spesis burung unik dan unggas yang berterbangan menggamit pandangan kami. Setelah kenyang, para pemancing masing - masing melabuhkan diri berehat dengan tilam & bantal yang empuk sebelum aktiviti sebenar bermula.

Kami tiba di Taman Negara pada jam 4.00 petang. Dengan suasana yang tenang dan aman, kami teruja melihat kelibat ikan kelah dan lampam sebesar lengan yang membuatkan para pemancing tidak sabar untuk memulakan aktiviti memancing.

Aktiviti memancing berjalan lancar sehingga malam dan ada juga pemancing tegar yang memancing hingga lewat pagi. Para wanita menyediakan Kopi O Kaw serta biskut kering untuk dihidangkan kepada para pemancing.Masing - masing gembira memperoleh hasil tangkapan walaupun baru beberapa jam tiba di Taman Negara Tasik Kenyir.

Pada hari kedua, para pemancing dibawa menyusuri sungai dengan berjalan kaki dan airnya sungguh sejuk sehingga terasa hingga ke tulang. Jurumudi bot membawa ke tempat yang dipanggil LUBUK yang sememangnya menjadi rezeki kami untuk dibawa pulang ke bot sebagai santapan tengah hari. Keperitan bahang mentari tidak menjadi masalah kepada pemancing yang sabar menunggu umpan disambar sang kelah dan lampam.

Sehingga hari terakhir iaitu hari yang ketiga, hasil tangkapan bertambah berkali-kali ganda dan masing - masing seronok dengan ikan yang diperolah termasuklah ikan lampam,ikan kelah, ikan sebarau dan yang paling menarik, Ikan Belida. Tahniah diucapkan kepada C'Mat, suami Yanie kerana memperoleh hasil tangkapan terbanyak disepanjang aktiviti bermula. Tidak lupa juga ucapan tahniah diberikan kepada En. Kamaruzzaman (Wut Da Buzz / Aboh ), kerana memperoleh udang sungai yang tersepit di mata kail pancingnya(hahahaha..) iaitu spesis yang jarang - jarang diperoleh walaupun daripada pemancing profesional sekalipun.

Sebelum berangkat pulang ke jeti, kami tidak melepaskan peluang bemandi manda di Air Terjun Lasir yang kami rasakan air terjun yang paling menarik berbanding Air Terjun Tembat semasa Samudera Kenyir 2008 dahulu. Dengan air yang agak dalam serta kejernihan air terjunnya, siapa yang terlihat pasti teruja dan tidak melepaskan peluang membasahi badan dengan kesejukan airnya.

Setelah 2 jam masa diberikan untuk bermandi manda, perjalanan diteruskan dan 3 jam lagi masa diperlukan untuk tiba di jeti. Sampai sahaja di jeti, barang - barang dapur dan persendirian terus dibawa naik ke jeti dan sebagai buah tangan untuk kenang - kenangan, beberapa gambar kumpulan di ambil untuk disimpan sebagai antara memori indah bagi kakitangan tapak Pasukan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2, Pakej 6. Diharapkan trip memancing ke Taman Negara Tasik Kenyir pada tahun 2009 ini memberi semangat bekerja yang baru sekembalinya ke pejabat kelak.

Semoga trip seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih menarik lagi diselitkan juga dengan aktiviti yang lebih mencabar dan mengujakan. Salam.