03 May 2009

Fishing Trip to Kenyir Lake - Samudera Kenyir 2009!!

Salam,

Trip memancing di Tasik Kenyir pada 23/04/09 hingga 25/04/09 yang lalu memberi seribu kenangan indah yang bermakna bagi kakitangan tapak LPT2. Seramai 16 kakitangan dan 7 ahli keluarga mengikuti aktiviti memancing tersebut.

Bertolak dari Kerteh seawal jam 7.00 pagi, sebanyak 6 buah kereta berkonvoi ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang mengambil masa perjalanan selama hampir 2 jam. Semua bahan - bahan mentah untuk memasak dibawa bersama termasuklah sayur, ayam,air mineral, maggi, biskut dan sebagainya. Peralatan untuk memasak seperti kuali, periuk, pinggan dan sebagainya disediakan oleh pihak jurumudi bot.

Setelah sampai di Jeti Pengkalan Gawi, para pemancing (kononnya laaa..kebanyakannya freshie lagi), berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di dalam bot yang diberi nama JENAGOR 1 itu. Kami bernasib baik kerana tilam & bantal yang disediakan masih baru serta susun atur barang - barang kelengkapan bot yang baik membuatkan para pemancing tidak sabar untuk memulakan perjalanan ke Taman Negara Tasik Kenyir.

Perjalanan ke Taman Negara Tasik Kenyir mengambil masa selama hampir 5 jam. Disepanjang perjalanan, rakan - rakan wanita sempat menyediakan masakan tengah hari yang enak. Antara makanan yang disediakan ialah ayam masak merah, telur dadar, ikan kembung goreng, sayur campur goreng dan air teh O ais. Kakitangan yang lain tidak melepaskan peluang menghirup udara yang segar disepanjang perjalanan. Telihat juga kelibat spesis burung unik dan unggas yang berterbangan menggamit pandangan kami. Setelah kenyang, para pemancing masing - masing melabuhkan diri berehat dengan tilam & bantal yang empuk sebelum aktiviti sebenar bermula.

Kami tiba di Taman Negara pada jam 4.00 petang. Dengan suasana yang tenang dan aman, kami teruja melihat kelibat ikan kelah dan lampam sebesar lengan yang membuatkan para pemancing tidak sabar untuk memulakan aktiviti memancing.

Aktiviti memancing berjalan lancar sehingga malam dan ada juga pemancing tegar yang memancing hingga lewat pagi. Para wanita menyediakan Kopi O Kaw serta biskut kering untuk dihidangkan kepada para pemancing.Masing - masing gembira memperoleh hasil tangkapan walaupun baru beberapa jam tiba di Taman Negara Tasik Kenyir.

Pada hari kedua, para pemancing dibawa menyusuri sungai dengan berjalan kaki dan airnya sungguh sejuk sehingga terasa hingga ke tulang. Jurumudi bot membawa ke tempat yang dipanggil LUBUK yang sememangnya menjadi rezeki kami untuk dibawa pulang ke bot sebagai santapan tengah hari. Keperitan bahang mentari tidak menjadi masalah kepada pemancing yang sabar menunggu umpan disambar sang kelah dan lampam.

Sehingga hari terakhir iaitu hari yang ketiga, hasil tangkapan bertambah berkali-kali ganda dan masing - masing seronok dengan ikan yang diperolah termasuklah ikan lampam,ikan kelah, ikan sebarau dan yang paling menarik, Ikan Belida. Tahniah diucapkan kepada C'Mat, suami Yanie kerana memperoleh hasil tangkapan terbanyak disepanjang aktiviti bermula. Tidak lupa juga ucapan tahniah diberikan kepada En. Kamaruzzaman (Wut Da Buzz / Aboh ), kerana memperoleh udang sungai yang tersepit di mata kail pancingnya(hahahaha..) iaitu spesis yang jarang - jarang diperoleh walaupun daripada pemancing profesional sekalipun.

Sebelum berangkat pulang ke jeti, kami tidak melepaskan peluang bemandi manda di Air Terjun Lasir yang kami rasakan air terjun yang paling menarik berbanding Air Terjun Tembat semasa Samudera Kenyir 2008 dahulu. Dengan air yang agak dalam serta kejernihan air terjunnya, siapa yang terlihat pasti teruja dan tidak melepaskan peluang membasahi badan dengan kesejukan airnya.

Setelah 2 jam masa diberikan untuk bermandi manda, perjalanan diteruskan dan 3 jam lagi masa diperlukan untuk tiba di jeti. Sampai sahaja di jeti, barang - barang dapur dan persendirian terus dibawa naik ke jeti dan sebagai buah tangan untuk kenang - kenangan, beberapa gambar kumpulan di ambil untuk disimpan sebagai antara memori indah bagi kakitangan tapak Pasukan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2, Pakej 6. Diharapkan trip memancing ke Taman Negara Tasik Kenyir pada tahun 2009 ini memberi semangat bekerja yang baru sekembalinya ke pejabat kelak.

Semoga trip seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih menarik lagi diselitkan juga dengan aktiviti yang lebih mencabar dan mengujakan. Salam.


No comments:

Post a Comment